Hutan, laut jadi tarikan produksi antarabangsa

Oleh Zaidi Mohamad – Januari 17, 2022 @ 8:30am

zaidim@bh.com.my

Zakaria memaklumkan, 13 projek filem antarabangsa membuat permohonan menjalani penggambaran sejak pandemik, dua tahun lalu. – NSTP/Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Kelebihan Malaysia sebagai negara hutan hujan tropika dan memiliki keindahan panorama pantai menjadi tarikan produksi filem antarabangsa, biarpun seluruh dunia diserang pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu.

Ancaman pandemik tidak sesekali menyekat produksi filem antarabangsa yang tertarik beberapa kawasan perhutanan dan pantai untuk melatari naskhah filem.

Ia sekali gus boleh mampu menjadikan Malaysia sebagai hab lokasi penggambaran filem antarabangsa.

Mengesahkannya, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid memaklumkan, sebanyak 13 projek filem antarabangsa membuat permohonan menjalani penggambaran sejak pandemik, dua tahun lalu.

“Ramai berfikiran semua perkara terhenti apabila pandemik berlaku. Hakikatnya tidak, malah FINAS menerima permohonan enam projek antarabangsa pada 2020.

“Daripada jumlah ini, salah satunya membabitkan penggambaran program televisyen. Bagaimanapun, produksi antarabangsa terpaksa menarik diri kerana tidak boleh meneruskan penggambaran secara fizikal.

“Tiga daripadanya membabitkan kerja pos produksi dan dua filem animasi. Walaupun ada sekatan pergerakan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kemasukan produksi ini menerusi ejen tidak terhenti. Ia membabitkan produksi Perancis, Hong Kong, Singapura, Finland dan China,” katanya kepada BH Online.

Zakaria ditemui selepas melancarkan lagu kemanusiaan, Kita Di Sisimu anjuran Rescue Union dalam usaha membantu mangsa banjir di Lembah Klang, baru-baru ini.

Tambah Zakaria, ada tujuh projek membabitkan filem cereka, pos produksi dan animasi membabitkan produksi antarabangsa, tahun lalu.

“Satu daripadanya membabitkan penggambaran filem cereka yang belum memulakan penggambaran. Selebihnya, satu kerja pos produksi dan lima filem animasi. Ia membabitkan produksi dari India, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Hong Kong.

“Jadi, FINAS menjangkakan lebih banyak produksi antarabangsa pelbagai negara akan menjadikan Malaysia sebagai hab penggambaran filem.

“Cuma, FINAS belum ada rekod secara menyeluruh kerana masih awal tahun. Sekalipun penggambaran fizikal tidak boleh dilakukan sejak dua tahun, kerja posproduksi atau urusan secara virtual masih berjalan. Bahkan, menerusi ejen dan kru tempatan, kerja tetap berjalan biarpun terbatas,” katanya.

Zakaria (dua dari kanan) diiringi Pengasas Rescue Union, John Yap (kiri) menerima alat kawalan jauh dari penulis lagu, Lenny Ooi (tengah) sebagai simbolik pelancaran single Kita Di Sisimu di Lembah Klang, baru-baru ini. – NSTP/Asyraf Hamzah

Zakaria berkata, sehingga kini, FINAS menerima hasrat dan permintaan daripada produksi luar negara untuk penggambaran.

“Syarikat produksi antarabangsa memiliki ejen di Malaysia sebagai perantara. Jadi, kami banyak menerima permintaan menjadikan kawasan perhutanan di luar Kuala Lumpur dan pantai sebagai lokasi pilihan penggambaran.

“Kebanyakan produksi antarabangsa tidak memilih lokasi bandar Metropolitan untuk penggambaran di Malaysia,” katanya.

Lebih utama, katanya, FINAS menyediakan skim pelaksanaan insentif penerbitan filem di bawah Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI), sekali gus dapat menjana pendapatan ekonomi pekerja seni tempatan.

“Kerajaan memperuntukkan RM300 juta untuk skim insentif ini. Jadi, penerbit atau syarikat produksi antarabangsa boleh menuntut 30 peratus rebat daripada kos pembikinan filem.

“Ia termasuk kos membayar gaji kru tabir tempatan. Skim ini menyaksikan lebih banyak produksi antarabangsa memilih Malaysia, sekali gus membantu menjana ekonomi.

“Dalam masa sama, FINAS beri rebat. Itu salah satu cara membuka ruang khidmat kru atau kepakaran tempatan bekerjasama dengan produksi antarabangsa. Begitu juga, pelbagai kemudahan yang kita ada,” katanya.

(Source: https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2022/01/912413/hutan-laut-jadi-tarikan-produksi-antarabangsa)